Thursday, February 4, 2010

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang pada asalnya dikenali sebagai Sekolah Melayu Hutan Melintang. Sekolah ini telah didirikan pada tahun 1907 di sebuah kawasan yang berhampiran dengan Tanah Perkuburan Islam dan Pusat Kesihatan Kecil Hutan Melintang.

Bangunan asal sekolah ini hanya berukuran 320 kaki persegi.Bangunan yang dibina secara bergotong-royong ini beratapkan nipah, berdindingkan buluh dan berlantaikan nibung. Pada ketika itu, sekolah ini mempunyai dua orang guru dan tiga puluh orang murid.

Pada tahun 1915, Sekolah Melayu Hutan Melintang telah dipindahkan ke tapak yang ada sekarang ini. Bangunan asalnya hanyalah sebuah bangunan sekolah dan sebuah rumah guru besar yang didirikan menghadap ke arah Sungai Jenderata.

Dalam tahun 1949, sebuah bangunan tambahan telah dibina di kawasan sekolah ini.Bangunan tersebut merupakan sebuah bangunan yang hanya berlantaikan tanah, beratapkan nipah dan berdindingkan kayu. Pada masa itu, enrolmen murid ialah seramai enam puluh empat orang.

Beberapa tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1951, pihak kerajaan British telah mendirikan sebuah bangunan baru khas untuk pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris Walau bagaimanapun, selepas sekolah Inggeris dibuka di Sungai Sumun, murid-murid yang mengikuti aliran Inggeris bertukar ke sekolah tersebut.Oleh sebab itu, bangunan khas tersebut kini boleh digunakan oleh semua murid Sekolah Melayu Hutan Melintang.. Enrolmen murid pada tahun 1955 ialah seramai seratus empat puluh orang manakala tenaga pengajarnya berjumlah lapan orang.

Dalam bulan Julai 1977, pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang ( dahulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Hutan Melintang ) telah menyampaikan satu memorandum kepada Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu bagi merayu agar pihak kerajaan meluluskan projek pembinaan bangunan baru. Ini adalah kerana keadaan fizikal dan kemudahan prasarana untuk murid-murid pada ketika itu serba kekurangan.

Pada tahun 1984, pihak kerajaan telah meluluskan pembinaan Projek Gantian yang mengandungi 8 buah bilik darjah,sebuah pejabat, sebuah bilik guru besar, sebuah pusat sumber, bilik sembahyang, 4 buah stor, bilik serbaguna, kantin dan padang. Sementara menunggu Projek Gantian ini siap sepenuhnya, warga Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang telah menumpang bangunan Sekolah Agama Rakyat Batu 12, Hutan Melintang yang letaknya kira-kira satu kilometer dari tapak sekolah ini. Pada 31 Julai 1986, Y.A.B. Dato’ Seri Ramli bin Ngah Talib, Menteri Besar Perak telah menyempurnakan perasmian bangunan baru Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang.

Pada tahun 1988, kemudahan fizikal sekolah ini telah bertambah dengan terbinanya 3 buah bilik darjah dan 4 unit rumah guru di dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang. Bangunan bilik darjah itu telah dibina secara bergotong-royong oleh pihak P.I.B.G. sekolah ini.

Mulai bulan November 1990, Pusat Kegiatan Guru (PKG) yang bangunannya dibina di dalam kawasan sekolah ini telah memulakan operasinya.

Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang terus mendapat beberapa bangunan tambah bagi menampung keperluan pembelajaran ke arah sekolah bestari.

Pada 2008 sekolah telah mendapat 1 blok bangunan tambahan 3 tingkat dan kini bangunan tersebut sudah 70% siap,dijangka pada bulan Jun 2010 akan mula beroperasi

No comments:

Post a Comment

PERANAN GURU LINUS